Pilih satu Halaman

Bahagian ini merangkumi kebanyakan soalan lazim yang telah kami terima, mengikut susunan abjad berdasarkan topik soalan. Namun, jika anda mempunyai soalan yang tidak disenaraikan di sini, atau memerlukan penerangan lanjut, sila isi borang permohonan ini.

Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut di bahagian Ketahui Hak Anda di sini.

Bahagian ini merangkumi kebanyakan soalan lazim yang telah kami terima, mengikut susunan abjad berdasarkan topik soalan. Namun, jika anda mempunyai soalan yang tidak disenaraikan di sini, atau memerlukan penerangan lanjut, sila isi borang permohonan ini.

Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut di bahagian Ketahui Hak Anda di sini.

A

Aduan

Apakah jenis aduan yang boleh dibuat kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM)?
MAVCOM akan menerima aduan berkenaan mana-mana khidmat penerbangan di Malaysia kecuali perihal berkenaan keselamatan dan sekuriti. Anda dialu-alukan untuk menghubungi MAVCOM jika aduan anda berkenaan mana-mana syarikat penerbangan atau perkhidmatan lapangan terbang sekitar Malaysia.
Bagaimana untuk saya membuat aduan dengan MAVCOM?
Kami menasihati anda untuk menghubungi syarikat penerbangan atau lapangan terbang yang berkenaan terlebih dahulu untuk memberi mereka peluang menyelesaikan isu tersebut dalam masa 30 hari. Bagaimanapun, jika anda tidak berpuas hati dengan respon syarikat penerbangan atau lapangan terbang, serahkan aduan ke MAVCOM melalui borang online.
Setelah menyerahkan borang, bagaimana untuk saya tahu status aduan saya?
Anda akan menerima emel pengiktirafan dengan nombor rujukan kes anda selepas penyerahan aduan. Simpan nombor rujukan ini untuk menyemak status aduan anda melalui laman Semak Status kami. Syarikat penerbangan dan lapangan terbang akan diberikan 30 hari untuk menawarkan penyelesaian kepada pengguna.
Saya telah membuat aduan kepada syarikat penerbangan dan lapangan terbang. Bolehkah saya hubungi MAVCOM jika saya tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang diberi?
Ya. MAVCOM akan membuat kajian lanjut mengenai perkara tersebut. Serahkan aduan dan respon syarikat penerbangan kepada MAVCOM melalui borang online di sini.
Bolehkah saya membuat aduan tentang syarikat penerbangan asing?
Ya, selagi aduan anda berkenaan dengan operasi syarikat penerbangan asing yang beroperasi ke atau dari Malaysia.
Apakah had tempoh masa untuk saya serahkan aduan?
Anda harus menghantar aduan kepada MAVCOM dalam tempoh 12 bulan dari tarikh insiden.
Bolehkah saya membuat aduan selepas penerbangan atau apabila saya pulang ke tanah air?
Ya, asalkan aduan anda diserahkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh insiden.
Saya telah menempah tiket penerbangan melalui ejen pelancongan, bolehkah saya hantarkan aduan kepada MAVCOM?
Jika anda membuat tempahan tiket melalui ejen pelancongan dan mengalami penundaan atau pembatalan penerbangan, anda boleh membuat aduan kepada MAVCOM. Bagaimanapun, jika ia berkenaan bayaran balik, sila rujuk dengan ejen pelancongan anda terlebih dahulu. Jika ini tidak berkesan dan anda masih tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang diberikan, anda boleh hantarkan aduan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Sila ambil maklum bahawa ini hanya tertakluk kepada ejen pelancongan berdaftar Malaysia sahaja.
Apakah maklumat yang saya perlu beri apabila saya membuat aduan khidmat pelanggan?

 

Anda boleh menghubungi pegawai syarikat penerbangan melalui telefon atau secara bertulis semasa membuat aduan khidmat pelanggan. Berikut merupakan maklumat-maklumat penting yang diperlukan apabila anda membuat aduan khidmat pelanggan:

 

1) Nama kakitangan yang terlibat
2) Nombor atau kad pengenalan kakitangan yang terlibat
3) Tarikh kejadian
4) Waktu kejadian
5) Info am kakitangan yang terlibat (misalnya: ketinggian, jantina, warna rambut)

Anda juga boleh memberikan maklumat lain yang dapat membantu syarikat penerbangan dalam hal penyiasatan.

Bagaimanakah cara untuk saya mengisi Nama Pertama dan Nama Kedua apabila menempah tiket di laman web?

Anda seharusnya mengisi nama anda seperti yang tertera di dokumen-dokumen perjalanan rasmi anda, seperti pasport, yang biasanya digunakan untuk tujuan identifikasi sewaktu pendaftaran masuk di kaunter imigresen.

Ikuti panduan ini:
– Nama pertama anda ialah nama asal anda.
– Nama kedua anda ialah nama keluarga anda.

Contoh:
1. Mohammed Faizal bin Mohammed Zaidi
– Nama Pertama (nama asal): Mohammed Faizal bin
– Nama Kedua (nama keluarga): Mohammed Zaidi

2. Samantha Fong Mei Chan
– Nama Pertama (nama asal): Samantha Mei Chan
– Nama Kedua (nama keluarga): Fong

3. Vineth Harish
– Nama Pertama (nama asal): Vineth
– Nama Kedua (nama keluarga): Harish

4. Rajvindran a/l Supiah Samy
– Nama Pertama (nama asal): Rajvindran al
– Nama Kedua (nama keluarga): Supiah Samy

Sekiranya anda masih tidak pasti, anda boleh hubungi syarikat penerbangan sebelum membuat tempahan tiket. Anda juga boleh mendapat maklumat lanjut dari jabatan imigresen negara yang akan anda lawati.

B

Bagasi

Bagasi saya tertunda selepas pendaratan. Bolehkah saya terima pampasan?

Ya. Jika bagasi anda tidak tiba pada penerbangan yang sama, anda boleh tuntut sehingga 1,131 Hak Pengeluaran Khas (lebih kurang RM6,200 bergantung kepada kadar pertukaran lazim pada masa tersebut) bagi penundaan bagasi. Hak Pengeluaran Khas adalah ukuran mata wang oleh Kumpulan Wang Antarabangsa (IMF) untuk penggunaan tuntutan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut tentang Hak Pengeluaran Khas, termasuk nilai terkini, layari laman web rasmi IMF.

Ia satu tabiat yang baik untuk sentiasa menyimpan resit atau bukti nilai barangan anda, bagi mengesahkan tuntutan anda. Tuntutan yang dibuat perlulah berpatutan, setanding dengan jangka masa penundaan.

Bagasi saya telah hilang/rosak/ditunda. Bolehkah saya terima pampasan?
Ya, jika syarat-syarat dipatuhi dan pampasan terbukti dengan resit atau bukti nilai serta diserahkan dalam jangka masa yang ditetapkan
Apakah had tempoh masa untuk melakukan tuntutan bagi hal ehwal bagasi?

Jika bagasi anda hilang, rosak atau ditunda, serahkan aduan bertulis kepada syarikat penerbangan anda secepat mungkin. Jika ia berkenaan kerosakan bagasi, tuntutan boleh dibuat selepas mendarat atau dalam tempoh 7 hari selepas menerima bagasi anda. Jika ia berkenaan bagasi yang tertunda, tuntutan boleh dibuat selepas mendarat atau dalam tempoh 21 hari selepas menerima bagasi anda.

Bagasi saya yang telah didaftar masuk telah tertunda. Apakah langkah-langkah yang perlu saya ambil untuk membuat laporan?

Jika bagasi anda yang telah didaftar masuk tertunda, pastikan anda ikut langkah-langkah berikut:

Pertama – Pastikan anda hubungi wakil syarikat penerbangan di lapangan terbang. Jika anda tidak dapat berbuat demikian, ia adalah penting untuk anda membuat laporan dalam tempoh 7 hari dari tarikh pendaratan anda.

Kedua – Apabila anda membuat laporan, sila isi borang ‘Property Irregularity Report’ (PIR) dan memohon salinan laporan tersebut daripada syarikat penerbangan.

Ketiga – Kongsikan salinan PIR dan ikuti perkembangan laporan anda dengan syarikat penerbangan. Langkah ini diperlukan untuk syarikat penerbangan menyiasat dan memproses tuntutan anda.

Bagasi saya yang didaftar masuk mengalami kerosakan. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk membuat laporan?

Jika bagasi anda yang didaftar masuk mengalami kerosakan selepas penerbangan, pastikan anda ikuti langkah-langkah berikut:

Pertama – Hubungi wakil syarikat penerbangan di lapangan terbang dengan segera. Jika anda tidak dapat berbuat demikian, ia adalah penting untuk anda membuat laporan dalam tempoh 7 hari dari tarikh pendaratan anda.

Kedua – Apabila anda membuat laporan, sila isi borang  ‘Property Irregularity Report’ (PIR) dan memohon salinan laporan tersebut daripada syarikat penerbangan

Ketiga – Kongsikan salinan PIR dan ikuti perkembangan laporan anda dengan syarikat penerbangan. Langkah ini diperlukan untuk syarikat penerbangan menyiasat dan memproses tuntutan anda. 

Saya telah disuruh untuk membuat laporan bagasi. Apakah maksudnya?
Setelah anda mendapat tahu bahawa bagasi anda yang telah didaftar masuk telah rosak, hilang atau tertunda, anda perlu membuat laporan bagasi dengan serta-merta di lapangan terbang.

Laporan bagasi lazimnya dikenali sebagai ‘Property Irregularity Report’ (PIR). Jika bagasi yang anda daftar masuk telah rosak, hilang atau tertunda, PIR akan membantu syarikat penerbangan mengesan status kes anda.

PIR terdiri daripada alamat dan nombor telefon anda, serta memberi gambaran mengenai bagasi anda yang rosak, hilang dan tertunda. Selain daripada itu, ia adalah penting untuk anda memilki dokumen seperti yang berikut:
1. Simpan resit atau sebarang bukti yang menunjukkan nilai barangan anda di dalam bagasi. Ini penting untuk mengesahkan tuntutan-tuntutan anda.
2. Ambil gambar bagasi anda berserta kandungannya sebelum mendaftar masuk. Jika ia hilang, rosak atau tertunda, ia memudahkan syarikat penerbangan untuk mengesannya.
3. Simpan salinan PIR dan pastikan anda kongsikan PIR semasa anda menghubungi syarikat penerbangan tersebut. Ia memudahkan syarikat penerbangan untuk menyiasat lebih lanjut atau memproses tuntutan tersebut.

Bagasi saya yang didaftar mempunyai Limited Release Tag (LRT). Apakah tag ini dan apakah maksudnya?
Limited Release Tag (LRT) adalah sebuah tag khas yang dikepilkan kepada mana-mana bagasi yang syarikat penerbangan labelkan sebagai ‘bagasi tidak standard’. Ini merangkumi jenis-jenis bagasi seperti berikut:
a. terlalu besar
b. mudah pecah
c. cepat rosak
d. tidak dikemas dengan rapi
e. rosak semasa mendaftar masuk
f. bagasi yang dikeluarkan kandungannya atas sebab-sebab keselamatan
g. bagasi yang didaftar masuk lewat

Sila ambil maklum bahawa syarikat penerbangan tidak akan mengganti rugi kerosakan bagasi anda jika ia mempunyai LRT.

Bantuan Penerbangan

Apakah pengaturan yang patut diberi oleh syarikat penerbangan atau lapangan terbang untuk penumpang kurang upaya?

Lapangan terbang dan syarikat penerbangan perlu menghulurkan bantuan di saat penumpang tersebut tiba di lapangan terbang, sehingga penumpang keluar dari lapangan terbang destinasinya. Ini termasuk (tapi tidak terhad kepada) bantuan daftar masuk bagasi, naik dan turun pesawat, serta perjalanan ke pesawat sambungan anda. Kebanyakan lapangan terbang di Malaysia mempunyai tanjakan, lif dan tandas yang memenuhi keperluan penumpang kurang upaya. Untuk maklumat lanjut, rujuk Bantuan Penerbangan di bahagian Ketahui Hak Anda, atau klik di sini.

Saya seorang penumpang yang memerlukan bantuan khas dan sebuah kerusi roda. Bagaimana saya boleh membuat pengaturan?

Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai kad OKU berhak untuk mendapat perkhidmatan kerusi roda secara percuma. Sila hubungi syarikat penerbangan anda sekurang-kurangnya 48 jam sebelum waktu pelepasan untuk memaklumkan keperluan bantuan anda. Untuk maklumat lanjut, rujuk Bantuan Penerbangan di bahagian Ketahui Hak Anda, atau klik di sini.

Apakah kemudahan yang tersedia untuk penumpang kurang upaya?

Kebanyakan lapangan terbang di Malaysia mempunyai tanjakan, lif dan tandas yang memenuhi keperluan penumpang kurang upaya. Untuk maklumat lanjut, rujuk “Bantuan Penerbangan” di bahagian Ketahui Hak Anda, atau klik di sini.

Bayaran Balik

Bolehkan saya mendapatkan bayaran balik jika saya memilih untuk membatalkan penerbangan jika sesuatu insiden penundaan berlaku?

Bayaran balik bergantung kepada terma dan syarat tiket anda.

Saya mahu membatalkan tiket penerbangan saya. Bolehkah saya terima bayaran balik?

Bayaran balik tiket penerbangan yang belum digunakan adalah tertakluk kepada terma dan syarat tiket penerbangan yang telah dibeli. Anda dinasihatkan untuk menghubungi syarikat penerbangan untuk mengetahui sama ada terdapat sebarang nilai bayaran balik bagi tiket yang telah dibeli. Sekiranya anda tidak menaiki mana-mana penerbangan, anda boleh meminta bayaran balik Cukai Lapangan Terbang dalam tempoh masa enam (6) bulan selepas tarikh pelepasan.

C

COVID 19

Bagaimanakah boleh saya melindungi diri dalam perjalanan semasa pandemik?

Sekiranya anda perlu melakukan perjalanan pada masa ini, kami telah menyediakan beberapa tip yang boleh diamalkan demi keselamatan anda. Sila rujuk panduan kami mengenai Nasihat Perjalanan untuk Pelancong semasa wabak COVID-19.

Adakah saya dibenarkan untuk melakukan perjalanan jika saya belum mengambil vaksin atau hanya menerima dos pertama vaksinasi sahaja?

Secara amnya, para penumpang penerbangan perlu menerima vaksinasi sepenuhnya untuk melakukan perjalanan.
Individu-individu yang telah lengkap divaksin adalah seperti yang ditakrifkan:–

  • Seorang individu yang telah menerima (2) dua dos vaksin Pfizer, AstraZeneca atau Sinovac; selepas tempoh inokulasi selama 14 hari.
  • Seorang individu yang telah menerima (1) satu dos vaksin Johnson & Johnson atau Cansino; selepas tempoh inokulasi selama 28 hari.

Namun begitu, para penumpang dibenarkan melakukan perjalanan bagi kes-kes kecemasan setelah mendapat kebenaran bertulis (permit perjalanan) daripada pihak polis. Syarat-syarat perjalanan mungkin berbeza mengikut syarikat penerbangan. Oleh itu, anda digalakkan untuk menghubungi syarikat penerbangan untuk memahami syarat-syarat perjalanan sebelum membeli tiket.

Bolehkah saya melakukan perjalanan jika saya telah menerima dos vaksinasi kedua tetapi masih belum tamat tempoh inokulasi?

Secara amnya, para penumpang penerbangan perlu menerima vaksinasi sepenuhnya dan telah tamat tempoh inokulasi untuk melakukan perjalanan.
Individu-individu yang telah lengkap divaksin adalah seperti yang ditakrifkan:-

  • Individu yang telah menerima (2) dua dos vaksin Pfizer, AstraZeneca atau Sinovac; selepas tempoh inokulasi selama 14 hari.
  • Individu yang telah menerima (1) satu dos vaksin Johnson & Johnson atau Cansino; selepas tempoh inokulasi selama 28 hari.
Bolehkah kanak-kanak di bawah umur 12 tahun melalukan perjalanan jika mereka tidak divaksin atau belum menerima vaksinasi yang lengkap?

Para penumpang penerbangan di bawah 12 tahun yang tidak atau hanya divaksin separa lengkap mesti ditemani oleh sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa; atau penjaga yang telah menerima vaksinasi sepenuhnya. Memandangkan syarat-syarat perjalanan mungkin berubah dari semasa ke semasa, kami menggalakkan anda untuk mendapatkan maklumat terkini daripada Majlis Keselamatan Negara  dan laman web Kementerian Kesihatan Malaysia. Anda juga digalakkan untuk melakukan semakan dengan syarikat penerbangan sebelum membeli tiket penerbangan.

D

Daftar Masuk

Saya membawa alat pengecas telefon bimbit (power bank). Bolehkah saya mendaftar masuk alat ini?

Syarikat penerbangan tidak membenarkan anda mendaftar masuk alat pengecas mudah alih (power bank). Secara amnya, kebanyakan syarikat penerbangan membenarkan anda membawa power bank menaiki pesawat sebagai sebahagian daripada bagasi kabin. Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk menghubungi syarikat penerbangan berkenaan untuk maklumat lanjut.

Di Luar Tuntutan

Saya telah membeli tiket penerbangan pulang ke Singapura dari Kuala Lumpur. Bagaimanapun, saya bercadang untuk berkongsi kereta dengan kawan-kawan dari Singapura dan menggunakan tiket penerbangan pulang saya untuk ke Kuala Lumpur. Bila tiba masa untuk saya melakukan penerbangan pulang, pihak penerbangan memaklumkan kepada saya yang tiket saya telah dibatalkan sepenuhnya kerana saya tidak mengambil penerbangan pertama ke Singapura dan ia dianggap sebagai “di luar turutan”. Apakah yang saya perlu buat?

Ini merupakan amalan piawaian oleh kebanyakan syarikat penerbangan yang menghendaki penumpang untuk membuat penerbangan mengikut jadual perjalanan yang ditempah. Jika sektor-sektor tidak melakukan penerbangan mengikut turutan, ia mungkin mengakibatkan tiket tersebut menjadi tidak sahih. Oleh itu, para penumpang digalakkan untuk serta-merta melaporkan kepada syarikat penerbangan terlebih dahulu jika mereka tidak bercadang untuk menggunakan mana-mana sektor tersebut (biasanya dirujuk sebagai ketidakhadiran) dan menguruskan segala yang diperlukan dengan syarikat penerbangan itu.

Dokumen Pendaftaran Masuk

Saya tidak pasti sama ada saya mempunyai semua dokumen yang diperlukan untuk penerbangan saya. Bagaimana boleh saya memastikan saya mempunyai dokumen-dokumen yang wajib bagi pendaftaran masuk?

Pastikan anda menyediakan dokumen-dokumen  yang berikut ketika merancang perjalanan anda:

  1. Passport dengan tempoh sah sekurang-kurangnya 180 hari (6 bulan) untuk penerbangan antarabangsa
  2. Kad pengenalan (MyKad) yang sah untuk penerbangan domestik
  3. Tiket penerbangan yang sah

Visa dan dokumen kesihatan, jika diperlukan. Anda dinasihati untuk menyemak visa dan dokumen kesihatan dengan konsulat-konsulat bagi negara destinasi anda. Anda perlu menunjukkan visa dan dokumen keperluan kesihatan berserta passport anda semasa pendaftaran masuk.

E

Elaun Bagasi

Saya mempunyai bagasi kabin. Apa yang perlu saya tahu tentang bagasi kabin?

Secara amnya, berat maksimum yang dibenarkan bagi setiap bagasi kabin adalah 7kg bagi kesemua syarikat penerbangan tempatan (dalam Malaysia). Dimensi maksimum bagasi kabin tidak sepatutnya melebihi 56cm (tinggi) X 36cm (panjang) X 23cm (lebar) di mana ia termasuk tangkai, roda serta poket sisi. Bagasi kabin ini hendaklah muat diletakkan di dalam ruang simpanan bagasi di bahagian atas. Anda juga boleh membawa masuk satu barang peribadi bersaiz kecil (contohnya: komputer riba, beg tangan, beg galas atau apa-apa beg bersaiz kecil yang lain) dan barang ini hendaklah muat diletakkan di bawah tempat duduk di hadapan anda. Anda dinasihatkan untuk membuat semakan dengan syarikat penerbangan berkenaan sebelum tarikh penerbangan kerana dasar polisi syarikat penerbangan mungkin berubah dari semasa ke semasa.

H

Hak Pengeluaran Khas

Apa itu Hak Pengeluaran Khas?
Hak Pengeluaran Khas adalah ukuran mata wang oleh Kumpulan Wang Antarabangsa (IMF) untuk penggunaan tuntutan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut mengenai Hak Pengeluaran Khas, termasuk nilai terkini, layari laman rasmi IMF.

Hamil

Bolehkah saya menaiki penerbangan sekiranya hamil?

Sebagai bakal ibu, anda dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor / pakar perubatan anda terlebih dahulu untuk mendapat kepastian sama ada ianya selamat bagi anda serta bayi untuk menaiki penerbangan. Secara amnya, syarikat penerbangan memerlukan surat daripada doktor yang menyatakan bahawa anda ‘boleh menaiki penerbangan tersebut’ dan ibu-ibu yang hamil lebih dari 36 minggu tidak dinasihatkan untuk menaiki penerbangan. Walau bagaimanapun, ini bergantung kepada polisi syarikat penerbangan berkenaan kerana setiap syarikat penerbangan mempunyai mempunyai dasar polisi yang berbeza. Oleh itu, adalah amat penting untuk anda membuat semakan dengan syarikat penerbangan kandungan anda mencecah 35 minggu. Walaubagaimanapun setiap syarikat yang berkenaan sebelum membuat tempahan tiket. Anda juga patut memaklumkan syarikat penerbangan tersebut jika anda mempunyai keperluan-keperluan khusus. Hubungi syarikat penerbangan sebelum anda membuat tempahan tiket agar perancangan penerbangan anda lebih teratur.

I

Insurans Perjalanan

Bolehkah syarikat penerbangan menetapkan insurans perjalanan sebagai pilihan tetap apabila menjual tiket?

Tidak. Syarikat penerbangan tidak patut menambah sebarang khidmat tambahan secara automatik pada tambang anda. Anda sepatutnya diberitahu terlebih dahulu tentang mana-mana perkhidmatan sedemikian dan diberi peluang untuk “memilih”, hanya jika anda mahukan khidmat tersebut. Jika anda tidak menjumpai salah satu daripada ini, hubungi syarikat penerbangan anda untuk menjelaskan perkara tersebut.

Saya telah membeli insurans perjalanan dari syarikat insurans luar dan bagasi saya telah hilang/rosak/ditunda. Bolehkah saya menerima pampasan dari kedua-dua syarikat penerbangan dan syarikat insurans?
Tidak, anda tidak dibenarkan untuk menuntut dari kedua-dua syarikat penerbangan dan syarikat insurans secara serentak. Dalam kes ini, anda boleh mengemukakan tuntutan kepada syarikat penerbangan dan pembekal insurans, dan bergantung kepada hasil siasatan dan kajian mereka, anda boleh menerima tuntutan dari satu pihak atau pihak yang lain. Jika pampasan yang ditawarkan kepada anda dari mana-mana pihak tidak mencukupi untuk menampung kerugian anda, anda boleh melibatkan pihak lain untuk membuat tuntutan terhadap kerugian tambahan, tertakluk kepada terma dan syarat polisi anda serta hasil siasatan dan kajian. Dalam mana-mana peristiwa, syarikat penerbangan dan pembekal insurans mempunyai mekanisme yang ditetapkan untuk menentukan sama ada sebuah tuntutan telah dibuat dengan salah satu pihak. Walaupun tuntutan berganda tidak dibenarkan bagi kes salah pengendalian bagasi, pembelian insurans perjalanan digalakkan kerana ia memberi perlindungan untuk situasi luar jangkaan seperti isu-isu perubatan sewaktu di luar negara.

K

Kemudahan Lapangan Terbang

Apakah kemudahan yang disediakan di lapangan-lapangan terbang di Malaysia?
Lapangan-lapangan terbang di Malaysia menyediakan beberapa kemudahan, termasuk kemudahan menyeluruh bagi orang kurang upaya. Untuk senarai penuh kemudahan di KLIA atau mana-mana lapangan terbang di Malaysia, layari laman web Malaysia Airports dan/atau laman web KLIA dan klia2.

Kerosakan

Adakah saya akan mendapat pampasan untuk kerosakan terhadap alat mobiliti saya?
Ya, jika alat mobiliti anda telah rosak atau hilang ketika penerbangan, anda berhak untuk mendapat pampasan berdasarkan harga pasaran lazim alat mobiliti anda. Untuk maklumat lanjut, rujuk “Kerosakan” di bahagian Ketahui Hak Anda, atau klik di sini.

L

Larangan Naiki Pesawat

Apakah hak-hak saya jika saya dihalang dari menaiki pesawat?
Syarikat penerbangan perlu menawarkan anda hidangan makanan, penginapan, dan bayaran balik tiket sepenuhnya atau penerbangan alternatif. Untuk maklumat lanjut, rujuk “Larangan Naiki Pesawat” di bahagian Ketahui Hak Anda, atau klik di sini.
Saya terlewat ke pintu perlepasan dan tidak dibenarkan untuk menaiki pesawat. Pesawat masih belum berlepas, jadi kenapa saya tidak dibenarkan menaikinya?

Adalah sangat penting untuk anda sedia maklum tentang waktu perlepasan yang tertera di tiket anda. Kebanyakan syarikat penerbangan memerlukan penumpang untuk berada di pintu perlepasan 20 minit SEBELUM BERLEPAS. Jika anda tiba lewat dari masa yang ditetapkan dalam pas masuk, syarikat penerbangan akan mula menyemak bagasi seperti Annex 17.

Syarikat penerbangan akan memastikan bagasi yang dimuatkan ke dalam pesawat hanyalah kepunyaan para penumpang yang menaiki pesawat tersebut sahaja. Oleh itu, syarikat penerbangan berhak untuk melarang anda dari menaiki pesawat.

M

Maklumat Tempahan

Jika saya mempunyai nama samaran atau nama kedua, nama yang mana satu perlu saya gunakan apabila membuat tempahan tiket penerbangan?
Anda patut dan perlu memastikan bahawa nama yang diisi untuk membuat tempahan tiket penerbangan adalah sama dengan nama yang tertera di dalam pasport, visa dan dokumen-dokumen perjalanan anda yang lain. Ini amat penting bagi tujuan pengesahan di kaunter daftar masuk dan kaunter imigresen.

Mendaftar Masuk Barangan

Saya ingin tahu, apakah barangan yang tidak dibenarkan untuk didaftar masuk?
Adalah dinasihatkan untuk tidak mendaftar masuk barangan berharga seperti wang, barang kemas, laptop dan alatan elektronik. Adalah juga dinasihatkan untuk menyimpan ubat-ubatan bersama anda di atas kabin. Jika anda mendaftar masuk barangan-barangan ini dan atas sebab-sebab tertentu ia hilang dari bagasi yang telah didaftar masuk, syarikat penerbangan tidak bertanggungjawab untuk memberi anda ganti rugi.
Gunakan dengan bijak elaun bagasi kabin yang diberi untuk menyimpan barangan berharga bersama anda di atas kabin. Sebagai langkah keselamatan, hubungi syarikat penerbangan anda untuk mengetahui senarai barangan yang tidak dibenarkan untuk didaftar masuk.

P

Pampasan

Bolehkah saya menuntut pampasan bagi penerbangan saya yang tertunda atau yang dibatalkan jika saya menaiki penerbangan dari London?

 

Hak anda dilindungi di bawah Peraturan EU 261 dan anda boleh menuntut pampasan dalam keadaan-keadaan tertentu, walaupun anda bukan seorang warganegara EU. Peraturan EU 261 merupakan salah satu undang-undang negara Eropah yang melindungi hak pampasan pengguna penerbangan. Selagi anda menaiki penerbangan dengan syarikat penerbangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU), atau penerbangan anda berlepas dari, atau tiba di mana-mana lapangan terbang negara anggota Kesatuan Eropah (EU), anda mempunyai hak untuk menerima pampasan.

 

Anda dinasihati untuk mendapatkan maklumat lanjut dari syarikat penerbangan di mana tempahan penerbangan anda dibuat. Kebanyakan syarikat penerbangan Eropah mempunyai halaman yang khusus mengenai Peraturan EU261 yang menyenaraikan polisi pampasan serta borang tuntutan yang membolehkan anda mengisi butiran tuntutan dalam talian.

Adakah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) tertakluk kepada kedua-dua penerbangan udara domestik dan antarabangsa serta syarikat penerbangan asing?

Ya. MACPC tertakluk kepada insiden yang terjadi di Malaysia, untuk mana-mana penerbangan domestik dan luar negara yang dioperasi oleh syarikat tempatan dan asing. Untuk maklumat lanjut, rujuk “Pampasan” di bahagian Ketahui Hak Anda, atau klik sini.

Saya belum memiliki insurans perjalanan. Adakah saya berhak untuk menerima pampasan untuk bagasi yang hilang, rosak atau lewat?

 

Ya, anda berhak untuk menerima pampasan untuk bagasi yang hilang, rosak atau lewat. Jika mana-mana situasi ini terjadi sewaktu anda mendarat, pastikan anda membuat laporan dengan syarikat penerbangan berkenaan serta-merta di lapangan terbang atau dalam masa 7 dari hari ketibaan anda. Anda juga digalakkan untuk membeli insurans perjalanan kerana ia melindungi anda dalam pelbagai jenis keadaan, seperti pembayaran balik bagi perbelanjaan perubatan, faedah perlindungan kemalangan peribadi, elaun hospital dan lain-lain.

 

Pembatalan

Apakah hak saya jika penerbangan dibatalkan?
Jika penerbangan anda dibatalkan, anda berhak untuk menerima bayaran balik penuh harga tiket atau penerbangan alternatif tanpa sebarang kos. Jika penerbangan anda dibatalkan kerana situasi cuaca, syarikat penerbangan tidak wajib untuk membayar pampasan jika ia boleh membuktikan bahawa pembatalan disebabkan oleh keadaan luar biasa yang tidak boleh dielak walaupun semua langkah sewajarnya telah diambil. Keadaan luar biasa merujuk kepada keadaan yang mungkin terjadi semasa situasi peperangan, keadaan cuaca yang mengganggu operasi pesawat tersebut, risiko keselamatan, kelemahan aspek keselamatan pesawat yang tidak diduga dan mogok yang menjejaskan operasi syarikat penerbangan.
Apakah hak saya jika penerbangan saya dibatalkan disebabkan penularan wabak COVID-19?

Sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan di seluruh dunia adalah untuk menyekat penularan wabak COVID-19 yang telah menyebabkan sejumlah besar pembatalan penerbangan. Sekiranya rancangan perjalanan anda terganggu dalam tempoh ini, sila rujuk panduan kami mengenai Gangguan Penerbangan – Soalan Lazim COVID-19.

Penerbangan Sambungan

Apakah perbezaan saya menempah tiket untuk penerbangan sambungan dalam satu tiket yang sama dari sebuah syarikat penerbangan, atau saya menempah dua tiket berasingan dari dua syarikat penerbangan yang berbeza?
Satu tiket dari sebuah syarikat penerbangan untuk penerbangan sambungan anda:
Jika anda menempah satu tiket untuk beberapa hentian dengan syarikat penerbangan yang sama, syarikat penerbangan tersebut bertanggungjawab untuk membawa anda dari destinasi awal hingga ke destinasi terakhir. Ini dikenali sebagai tiket penghubung, yang menjadikannya satu kontrak pengangkutan.Jika penerbangan anda ditunda atau dibatalkan, anda akan dilindungi dan syarikat penerbangan akan bertanggungjawab untuk menguruskan penerbangan alternatif seterusnya untuk anda tanpa sebarang kos tambahan.

Dua tiket berlainan dari dua syarikat penerbangan yang berbeza untuk penerbangan sambungan anda:
Jika anda menempah tiket berasingan dengan dua syarikat penerbangan yang berbeza dan jika penerbangan anda ditunda atau dibatalkan, syarikat penerbangan tidak akan menguruskan penerbangan alternatif untuk anda. Secara rumusannya, anda tidak akan menerima perlindungan yang sama seperti tiket penghubung, kerana tiket-tiket ini tertakluk kepada kontrak pengangkutan yang berasingan.

Contohnya:
Anda telah membeli dua tiket berasingan. Anda akan membuat penerbangan dari Kuala Lumpur ke Dubai dengan Syarikat Penerbangan A dan Dubai ke London dengan Syarikat Penerbangan B. Jika penerbangan anda dengan Syarikat Penerbangan A tertunda dan mengakibatkan anda terlepas penerbangan dengan Syarikat Penerbangan B, Syarikat Penerbangan A tidak bertanggungjawab untuk mengganti rugi tiket anda dengan Syarikat Penerbangan B. Syarikat Penerbangan A hanya perlu menguruskan penerbangan alternatif dari Kuala Lumpur ke Dubai.

Jika anda tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menempah dua tiket berlainan, anda perlu mempertimbangkan perkara-perkara seperti berikut :
i) Lebihkan jarak waktu di antara kedua-dua penerbangan anda – Jika penerbangan awal anda ditunda, ia mungkin akan meminimakan gangguan penerbangan anda.
ii) Ambil kira proses perlepasan kastam dan imigresen sebelum anda menaiki penerbangan seterusnya. Anda mungkin perlu memungut bagasi, melepasi kastam dan imigresen, dan daftar masuk bagasi anda sekali lagi untuk penerbangan seterusnya.
Anda mungkin perlu mempertimbangkan untuk bermalam di destinasi hentian dan tempah penerbangan seterusnya untuk hari berikutnya.
iiI) Beli insurans perjalanan – Sesetengah polisi melindungi kesilapan penerbangan sambungan. Jika anda terlepas penerbangan sambungan, anda boleh tempah tiket yang baru dan kemudiannya serahkan tuntutan kepada syarikat insurans. Bagaimanapun, syarikat insurans tidak akan membantu anda untuk menempah tiket yang lain.

Penggabungan Penerbangan

Saya telah dimaklumkan bahawa syarikat penerbangan telah membuat keputusan untuk menggabungkan penerbangan saya dengan penerbangan lain. Adakah ini bermaksud penerbangan saya dibatalkan?
Ya, sejurus selepas kod penerbangan anda berubah, ia dianggap sebagai pembatalan penerbangan. Di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016, jika penerbangan anda dibatalkan, anda layak untuk menerima pampasan daripada syarikat penerbangan, yang mungkin termasuk bayaran balik penuh atau penerbangan alternatif.

Penundaan

Apakah hak saya jika penerbangan saya ditunda?

Anda mungkin akan menerima pampasan seperti hidangan makanan dan penginapan, bergantung kepada jangka masa penundaan. Rujuk halaman Penundaan Penerbangan dan Pembatalan untuk maklumat lanjut.

Jika penerbangan anda ditunda akibat keadaan cuaca, syarikat penerbangan tidak wajib untuk membayar pampasan jika ia terbukti disebabkan oleh situasi cuaca. Syarikat penerbangan tidak wajib untuk membayar pampasan jika ia boleh membuktikan bahawa penundaan disebabkan oleh keadaan luar biasa yang tidak boleh dielak walaupun semua langkah yang sewajarnya telah diambil. Keadaan luar biasa merujuk kepada keadaan yang mungkin terjadi semasa situasi peperangan, keadaan cuaca yang mengganggu operasi pesawat tersebut, risiko keselamatan, kelemahan keselamatan pesawat yang tidak diduga dan mogok yang menjejaskan operasi syarikat penerbangan. Untuk maklumat lanjut, rujuk “Penundaan” di bahagian Ketahui Hak Anda, atau klik di sini.

Syarikat penerbangan menunda / menukar penerbangan saya ke masa berlepas yang baharu. Adakah saya layak untuk menerima bayaran balik?

Sekiranya penerbangan anda dijadualkan semula sekurang-kurangnya 3 jam atau lebih dari jadual perlepasan yang asal, anda layak menerima bayaran balik penuh untuk tiket anda dalam masa 30 hari, ataupun diberi pilihan untuk menaiki penerbangan lain tanpa sebarang kos tambahan.

Walau bagaimanapun, bagi penerbangan yang dijadualkan semula kurang dari 3 jam dari jadual perlepasan yang asal, sebarang bentuk pampasan mahupun bayaran balik tertakluk kepada Terma dan Syarat tiket anda.

Perkhidmatan

Apakah Perkhidmatan Fly-Thru dan bagaimanakah ia berfungsi?
Secara ringkasnya, ia sebuah perkhidmatan yang membantu menyambungkan penerbangan anda secara mudah tanpa perlu bersusah-payah melalui proses imigresen atau perlu memungut bagasi anda apabila anda mengambil dua penerbangan berlainan untuk ke destinasi terakhir.
AirAsia menawarkan perkhidmatan Fly-Thru dan mengenakan bayaran jika perkhidmatan ini diperlukan di lapangan terbang.
Jika anda memilih untuk tidak menggunakan khidmat Fly-Thru, anda perlu meluangkan sedikit masa sebelum penerbangan sambungan anda yang seterusnya. Tanpa perkhidmatan ini, anda perlu memungut bagasi anda dan melalui proses pemeriksaan imigresen sekali lagi.

Penerbangan Perkongsian Kod

Perlukah syarikat penerbangan mendedahkan identiti syarikat penerbangan yang beroperasi dalam kes khidmat perkongsian kod?
Ya. Kesemua syarikat penerbangan harus memaklumkan kepada anda identiti syarikat penerbangan yang beroperasi sama ada sewaktu anda membuat pembelian tiket atau sejurus selepas penerbangan tersebut dianggap sebagai penerbangan perkongsian kod.  Untuk maklumat lanjut, rujuk “Perkongsian Kod” di bahagian Ketahui Hak Anda, atau klik di sini.
Saya telah membeli tiket perkongsian kod untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke London. Sekiranya penerbangan saya dibatalkan atau dijadual semula, bagaimanakah caranya untuk saya mengemukakan permohonan bayaran balik bagi penerbangan perkongsian kod?

Perkhidmatan perkongsian kod adalah merupakan perjanjian komersial di antara dua syarikat penerbangan atau lebih, di mana tempahan tiket penerbangan boleh dilakukan dengan salah satu daripada syarikat penerbangan yang terlibat. Ini bermakna bahawa penerbangan boleh dipasarkan oleh satu syarikat penerbangan (Syarikat Penerbangan A – Syarikat Penerbangan Pemasaran) dan dikendalikan oleh syarikat penerbangan lain (Syarikat Penerbangan B – Syarikat Penerbangan Pengendali).

Sebagai contoh, anda telah membeli tiket penerbangan dari Malaysia Airlines untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke London dengan transit di Doha. Dalam situasi ini, Malaysia Airlines merupakan syarikat penerbangan pengendali untuk sektor pertama perjalanan anda, iaitu dari Kuala Lumpur ke Doha. Walau bagaimanapun, bagi perjalanan Doha ke London, Qatar Airways akan menjadi syarikat penerbangan pengendali untuk perjalanan anda.

Sekiranya penerbangan anda dari Doha ke London dibatalkan atau dijadual semula, anda boleh mengemukakan permohonan bayaran balik tiket penerbangan kepada Malaysia Airlines yang menjual tiket kepada anda kerana mereka adalah merupakan syarikat penerbangan pemasaran bagi perjalanan anda. Ini termasuk sebarang pertanyaan berkaitan bayaran balik tiket penerbangan atau isu yang berkaitan dengan penebusan mata ganjaran frequent flyer.

Selain itu, sekiranya anda menghadapi masalah seperti penundaan penerbangan, bagasi disalah kendali (termasuk bagasi lewat, rosak, atau hilang), atau jika anda  dilarang  menaiki pesawat, anda digalakkan untuk menghubungi syarikat penerbangan pengendali yang bertanggungjawab bagi  sektor perjalanan tersebut.

R

Rokok Elektronik

Adalah amat mencabar bagi saya untuk tidak merokok pada jangka masa yang panjang. Bolehkah saya membawa rokok elektronik ke dalam pesawat?
Merokok dalam sebarang bentuk, termasuk merokok rokok elektronik adalah dilarang dalam semua penerbangan komersial. Anda tidak dibenarkan untuk mendaftar masuk rokok elektronik. Walau bagaimanapun, anda boleh membawanya dalam bagasi kabin.

T

Tambang

Adakah syarikat penerbangan diwajibkan mempamerkan harga muktamad tambang udara yang akan dibayar sebelum pembelian tiket oleh pengguna?

Ya, syarikat penerbangan diwajibkan untuk mempamerkan harga akhir tambang udara yang akan dibayar sebelum pembelian tiket oleh pengguna. Untuk tujuan ketelusan, syarikat penerbangan itu mesti menyenaraikan dan memberikan butiran harga akhir tersebut dalam lima (5) kategori berikut sebelum pengguna meneruskan pembayaran:

 

  1. tambang asas, termasuk semua caj yang kena dibayar kepada syarikat penerbangan
    • Syarikat penerbangan mesti mempamerkan tambang asas, yang merupakan kesemua caj yang dibiayai ke syarikat penerbangan tersebut. Caj tersebut termasuk sebarang caj kewangan seperti yuran kad kredit, yuran kad debit, yuran transaksi pembayaran dalam talian, yuran pemprosesan, yuran pentadbiran, yuran yang dikenakan biaya dan apa-apa yuran dan caj lain yang perlu dibayar kepada syarikat penerbangan itu.
  1. apa-apa cukai dan yuran yang dikenakan kerajaan
    • Kesemua cukai dan yuran yang dikenakan oleh mana-mana kerajaan jatuh di bawah kategori ini. Sebagai contoh, di Malaysia pengguna akan diminta untuk membayar cukai perkhidmatan untuk membeli tiket penerbangan.
  1. apa-apa fi dan caj yang ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis
    • Berbeza dengan cukai dan yuran yang dikenakan kerajaan yang jatuh disebabkan oleh Kerajaan, undang-undang bertulis boleh memaksa pengumpulan fi atau caj oleh pihak tertentu untuk tujuan sebagaimana dinyatakan dalam undang-undang tersebut.
    • Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang digubal di bawah Peraturan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Penerbangan Perkhidmatan Penerbangan) 2016 dan levi berlepas yang mulai berkuat kuasa mulai 1 September 2019 adalah contoh yuran dan caj yang ditetapkan oleh undang-undang bertulis di Malaysia.
    • Di India, Fi Perkhidmatan Penumpang dikutip daripada penumpang yang menaiki pesawat menurut peraturan 88 dari Peraturan Pesawat India 1937. Kerajaan New Zealand sebaliknya, mengenakan “Boarder Clearance Levy” atas penumpang untuk memulihkan kos yang ditanggung oleh Kastam semas ketibaan dan perlepasan dari New Zealand seperti yang ditetapkan oleh pindaan kepada Akta Kastam dan Eksaun 1996 dan Akta Biosekuriti 1993.
  1. surcaj bahan api (jika ada)
    • Surcaj bahan api adalah bayaran yang dikenakan oleh syarikat penerbangan untuk menampung kos bahan api yang berubah-ubah; dan
  1. caj untuk perkhidmatan pilihan / opsyenal yang dibeli oleh pengguna secara “opt-in” (jika ada).
    • Caj tersebut adalah untuk perkhidmatan pilihan / opsyenal seperti yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan yang penumpang memilih untuk membeli pada masa proses tempahan tiket berdasarkan opt-in. Contoh perkhidmatan pilihan tersebut adalah insurans, makanan / makanan ringan / minuman, caj bagasi daftar masuk, caj peralatan sukan dan tempat duduk istimewa.
    • Caj ini adalah untuk perkhidmatan pilihan dan walaupun pengguna tidak memilih untuk membeli mana-mana perkhidmatan yang ditawarkan, pengguna masih boleh meneruskan pembayaran untuk tiket. Jika pengguna tidak dapat meneruskan pembayaran kecuali bila satu daripada pilihan yang diberikan oleh syarikat penerbangan dipilih, caj tersebut tidak boleh dikategorikan di bawah kategori ini, dan sebaliknya ia harus berada di bawah kategori tambang asas.

Terma dan Syarat

Apakah terma dan syarat yang patut didedahkan kepada saya semasa pembelian tiket penerbangan?

Syarikat penerbangan anda patut menyenaraikan semua yang berikut sebelum anda membeli tiket:

  • terma dan syarat yang ditakluk bergantung kepada jenis tambang
  • polisi bayaran balik dan tempahan semula, jika ada
  • polisi peruntukan bagasi
  • cukai dan fi yang dikenakan kerajaan
  • caj dan fi yang dikenakan Suruhanjaya
  • caj dan fi lain-lain
  • maklumat perhubungan syarikat penerbangan dan
  • maklumat-maklumat penting lain yang memaklumkan anda tentang syarat-syarat dan jumlah harga tiket yang dibeli.