Kehilangan, Kerosakan dan Kelewatan Bagasi
September 1, 2024
Saat menunggu bagasi di karusel lapangan terbang kerap menjadi saat yang mendebarkan: Adakah bagasi saya akan tiba? Adakah ia dalam keadaan yang baik? Dan bila bagasi anda akhirnya tiba, terus rasa lega!
Walau bagaimanapun, kejadian tidak diingini boleh berlaku – bagasi anda tidak tiba dalam penerbangan yang sama, atau ia mungkin hilang atau rosak semasa penerbangan. Jika perkara ini terjadi, anda mungkin akan diberi pampasan atas kesulitan yang dialami.
Untuk menuntut pampasan, anda perlu melaporkan aduan secara bertulis kepada syarikat penerbangan.
-
Untuk kerosakan bagasi, anda perlu mengemukakan aduan sejurus tiba atau dalam tempoh 7 hari dari ketibaan.
-
Untuk kelewatan bagasi, anda perlu mengemukakan aduan sejurus tiba atau dalam tempoh 21 hari dari ketibaan. Anda digalakkan untuk mengemukakan aduan bertulis sejurus tiba di lapangan terbang.
*Laporan bagasi atau Property Irregularity Report (PIR) yang dikemukakan kepada syarikat penerbangan turut dianggap sebagai aduan rasmi.
Syarikat penerbangan bertanggungjawab untuk memberi pampasan terhadap kehilangan, kelewatan atau kerosakan bagasi maksimum sehingga 1,288 Hak Pengeluaran Istimewa (SDR). Nilai SDR adalah berdasarkan kepada lima mata wang utama – dolar Amerika Syarikat, Euro, Yen Jepun, Pound Sterling dan renminbi China.
Sila klik pada pautan di sini untuk kadar SDR semasa.
Ia adalah penting untuk anda menyimpan resit atau bukti nilai barang dalam bagasi anda untuk mengesahkan tuntutan anda. Secara amnya, syarikat penerbangan bertanggungjawab membayar pampasan sekiranya bagasi hilang atau lewat sampai, tanpa mengira sama ada anda telah membeli insurans perjalanan ataupun tidak. Kerosakan kecil bagasi seperti potongan atau calar kecil tidak boleh dituntut.