Pilih satu Halaman
Julai 16, 2018

Hei teman seperjalanan! Kami ada berita menarik untuk dikongsi – FlySmart telah dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Anthony Loke Siew Fook di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 28 Jun 2018.

FlySmart merupakan sebuah inisiatif oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), yang bertujuan untuk terus meningkatkan pengetahuan pengguna tentang hak-hak mereka sebagai penumpang penerbangan, dan membantu pengguna untuk membuat keputusan

yang lebih bijak melalui sebuah medium yang lebih menarik dan interaktif.

Ketika berucap di majlis pelancaran, YB Anthony Loke menjelaskan bahawa MAVCOM memperkenalkan FlySmart sebagai platform yang membolehkan pengguna mendapatkan maklumat dan mengetahui hak-hak mereka. Beliau menambah bahawa akan terdapat beberapa inisiatif FlySmart yang akan diperkenalkan secara berperingkat, termasuk halaman media sosial, beberapa siri video yang menerangkan hak-hak pengguna serta satu aplikasi mudah alih khas untuk hal-ehwal penerbangan.

“Dengan pengenalan FlySmart yang bertujuan untuk memastikan penumpang mengetahui hak-hak mereka, industri berserta syarikat penerbangan juga harus meneliti isu-isu yang telah dibangkitkan dan mengambil langkah lebih proaktif dalam mengurangkan isu-isu ini sebaik yang mungkin. Ia diharapkan agar FlySmart akan memandu sistem penerbangan dan lapangan terbang menjadi lebih bertanggungjawab dan responsif kepada isu sensitif pengguna supaya meningkatkan kecekapan industri penerbangan di Malaysia,” YB Anthony Loke berkata.

Majlis pelancaran ini juga menyaksikan pengenalan inisiatif FlySmart pertama, iaitu laman web FlySmart. Laman web ini bertindak sebagai platform untuk para penumpang membantu satu sama lain kerana ia menampilkan pengalaman-pengalaman penumpang yang telah dibantu oleh MAVCOM pada masa lalu dan bagaimana mereka memanfaatkan hak mereka sebagai pengguna. Para penumpang juga akan dapat mengemukakan aduan mereka melalui laman web ini, di halaman Buat Aduan di sini:

https://flysmart.my/bm/buat-aduan/

Ini merupakan sebuah permulaan yang sangat baik. Kami amat berbesar hati kerana dapat menganjurkan acara ini dengan YB Anthony Loke, rakan-rakan media dan teman-teman seperjalanan yang lain. Kami amat teruja untuk terus mara dalam perjalanan ini.