Jika anda mempunyai sebarang kelemahan/ketidakupayaan atau menaiki kapal terbang dengan seseorang yang mempunyai ketidakupayaan dari segi fizikal, mental, intelektual atau sensori, amatlah penting untuk anda mengetahui jenis bantuan yang disediakan oleh syarikat penerbangan bagi memastikan perjalanan udara anda selesa dan mudah diakses. Syarikat penerbangan tidak boleh menggunakan apa-apa kelemahan/kekurangan sebagai alasan untuk menghalang pengguna daripada menempah tiket atau menaiki penerbangan. Pengecualian hanya boleh dibuat jika proses menaiki kapal terbang mempunyai implikasi keselamatan, atau saiz kapal terbang menyukarkan penumpang tersebut menaiki kapal terbang. Oleh itu, adalah penting untuk merancang perjalanan anda dari peringkat awal dan mengemukakan semua soalan yang perlu, sama ada melalui laman web atau talian khidmat pengguna syarikat penerbangan.
Bagi pengguna yang memegang kad Orang Kurang Upaya, Syarikat penerbangan perlu menyediakan kerusi roda percuma dari saat tiba di lapangan terbang sehingga waktu berlepas. Bagi memastikan keadaan berjalan dengan lancar, pengguna yang kurang upaya atau pengiring mereka perlu memaklumkan kepada syarikat penerbangan sekurang-kurangnya 48 jam sebelum berlepas. Pengguna adalah dinasihatkan untuk menyemak dengan syarikat penerbangan mengenai waktu daftar masuk bagi memberi masa untuk bantuan penerbangan diberikan.
Bagi situasi yang melibatkan kehilangan atau kerosakan kelengkapan mobiliti dan alat bantuan semasa penerbangan, pengguna mempunyai hak untuk membuat tuntutan pampasan terhadap sama ada *syarikat penerbangan yang beroperasi atau **syarikat penerbangan yang berkontrak. Pampasan ini berdasarkan harga pasaran semasa peralatan tersebut, memberikan jaminan bahawa pengguna yang terjejas akan diberi pampasan dengan adil.
Nota:
*Syarikat penerbangan yang beroperasi merujuk kepada syarikat penerbangan yang mengendali pesawat.
** Syarikat penerbangan yang berkontrak merujuk kepada syarikat penerbangan yang menjual tiket penerbangan.